Mewujudkan sempadan tuntutan kaum lain di Malaysia

 

TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching pernah menegaskan pada 2015 bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini disebabkan UEC tidak selaras dengan kurikulum kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Akta Pendidikan 1996 meletakkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang ditubuhkan mengikut Seksyen 28 atau mana-mana institusi yang dikecualikan.

Bahasa Kebangsaan telah dijadikan mata pelajaran wajib di semua sekolah dan institusi pendidikan demi memenuhi hasrat kerajaan ke arah penyatuan kaum di negara ini. Di samping itu, mengikut akta ini, kurikulum kebangsaan wajib digunakan di semua sekolah, termasuk sekolah swasta.

UEC bermaksud Unified Examination Certificate atau Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Persendirian Cina. Sijil ini digunakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dibenarkan berfungsi mengikut kaedahnya sendiri, menggunakan silibus UEC, dengan syarat mesti mengikut kehendak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan erti kata lain, pelajar SMPC akan memiliki dua sijil sekali gus iaitu UEC dan SPM.

Umumnya, UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah (UEC-JML), Vokasional (UEC-V) dan Menengah Tinggi (UEC-SML) yang semuanya menggunakan bahasa Mandarin. UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek Sains dan subjek aliran perdagangan.

Didapati bahawa SMPC secara asasnya menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan. Mereka menolak menggunakan dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan. Sebaliknya mereka menggunakan kurikulum yang ditiru dari Taiwan. Sistem penilaiannya juga dibuat oleh badan penilaian sendiri, bukannya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Dong Jiao Zong iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina sejak tiga dekad lalu telah mendesak kerajaan mengiktiraf sijil UEC sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA. Ini jelas suatu tindakan yang membelakangkan dasar-dasar kerajaan.

Sepertimana mereka pernah meminta untuk diwujudkan Universiti Merdeka yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai medium pengantaraan.

Bagaimanapun, rayuan mereka ditolak di Mahkamah Persekutuan kerana jelas ia akan mempunyai kuasa rasmi seperti termaktub dalam Akta Universiti dan Universiti Kolej 1991 dan dengan itu melanggar Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

Hujah Dong Jiao Zong dan baru-baru ini oleh parti anti-Islam MCA bahawa UEC diiktiraf oleh pusat pengajian tinggi luar negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat adalah tidak sesuai langsung dengan suasana di Malaysia. Ditambah pula dengan situasi jurang perkauman yang semakin meluas sekarang, yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan negara.

MCA dan parti rasis Cina lain berhujah seolah-olah seperti mereka bukan warganegara Malaysia. Di Malaysia, keadaannya berbeza, bukan seperti luar negara. Semua warganegara perlu ada kelulusan tertentu dalam SPM yang diguna pakai sebagai syarat kelayakan utama memasuki universiti.

Oleh itu, kerajaan tidak sepatutnya mengiktiraf sijil UEC yang diperoleh oleh warga Malaysia yang ingin memasuki universiti awam di Malaysia, dan bukannya universiti luar negara.

Adakah kerajaan ingin menghukum apabila menetapkan syarat agar warga Malaysia yang layak ke universiti awam wajib menguasai bahasa Melayu dengan baik? Teruk sangatkah permintaan sedemikian? Susah sangat ke bagi kaum Cina untuk menguasai Bahasa Bebangsaan?

Sudah banyak sebenarnya kerajaan memberi kelonggaran. Satu contoh ialah SJK Cina (SJKC) dahulunya dikategorikan sebagai sekolah bantuan modal, tetapi hari ini hampir ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini tidak termasuk hampir 400 SJKC yang dibina sepenuhnya oleh kerajaan.

Seterusnya, pembinaan sekolah vernakular yang dilihat boleh merenggangkan hubungan antara kaum yang telah dihapuskan oleh Akta Pelajaran 1961 telah ditarik balik dalam Akta Pelajaran 1996. Menteri Pelajaran tidak lagi dibenarkan menghapuskan sekolah vernakular demi menghormati hak bangsa lain di Malaysia.

Mengikut laporan media, alasan tepat dan jitu yang diberikan kerajaan untuk tidak mengiktiraf dan menerima sijil UEC sebagai kelayakan memasuki IPTA amatlah logik dan mudah diterima kerana:

* Sistem pembelajaran dan subjek di SMPC menggunakan bahasa Mandarin dan mengetepikan bahasa Melayu;

* Kerajaan sentiasa mengingatkan rakyat agar mencintai negara dan bahasa. Jaadi kecintaan ini perlu diukur bagaimana jika pelajar SMPC tidak bercampur gaul; dan

* Kerajaan hanya memberi kelonggaran kepada pelajar dari luar negara yang menggunakan sijil pendidikan mengikut kelayakan negara mereka ketika memohon memasuki IPTA. Permohonan pelajar dalam negara pula perlulah mempunyai kelayakan SPM.

Saya berasakan sudah tiba masanya kerajaan menetapkan sempadan untuk memenuhi tuntutan kaum lain demi mencapai kestabilan dan keamanan serta bertegas dalam melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *